Tuesday, April 27, 2010

A day before convocation

Saya sangat gembira berjumpa semula dengan Ah Zha. Ah Zha adalah pelajar saya sejak semester lepas di bawah kursus Matematik Kejuruteraan. Perjumpaan kami telah banyak membawa kenangan lalu kepada saya dan saya bersyukur bahawa kami dapat berjumpa kembali. Ah Zha bukan seorang pelajar yang pintar tetapi Ah Zha tahu dan jelas akan sasarannya. Saya masih ingat akan bagaimana Ah Zha menunjukkan usahanya sepanjang semester dan inilah cara usaha yang tak dapat saya temui lagi di kalangan pelajar saya di politeknik ini (selain Sarah). Saya berharap pelajar saya yang lain dapat membaca blog ini. Ah Zha tidak pernah berasa malu untuk bertanya soalan dan dia sedar akan kelemahannya. Saya masih ingat akan dua nasihat terakhir yang diberikan kepadannya pada hari terakhir kami berjumpa pada semester lepas. "Berusahalah dan jangan bergantung kepada orang lain" dan "Berfikirlah secara terbuka!". Inilah dua nasihat yang saya sampaikan. Hari ini saya masih sampaikan dua nasihat ini kepada Ah Zha sebagai hadiah kepada pengraduatannya. Terima kasih kepada ibu bapanya atas hadiah dari Melaka. Last but not least, tahniah, Ah Zha!!!

Friday, April 9, 2010

Program Motivasi Pelajar

Program Motivasi Pelajar: Pelajar Cemerlang, Akhlak Terbilang telah berjaya dilaksanakan pada 7 April 2010 (Rabu) dari jam 3 petang hingga 5 petang bertempat di Bilik Auditorium, Unit Multimedia dan Sumber. Penceramah yang dijemput merupakan salah seorang rakan sewaktu pengajian sarjana di UPSI iaitu En. Assahari Ally Bin Hussein. Beliau juga merupakan seorang penceramah Biro Tatanegara yang sangat berpengalaman. Sepanjang ceramah, beliau telah banyak berkongsi maklumat tentang aspek kedaulatan negara dan penyampaiannya cukup menarik. Yang sedih, pelajar yang banyak mengantuk dan kurang berminat dalam mengikuti ceramah yang disampaikan.

Kita perlu berfikir secara positif di mana penerimaan ilmu pengetahuan tambahan hanya akan mengkayakan diri kita. Saya tidak dapat memikirkan apa kelemahan atau keburukan ilmu berlebihan. Oleh kerana itu, setiap kali saya berkesempatan untuk mengikuti ceramah, saya berasa itu satu peluang keemasan untuk meningkatkan kualiti diri saya. Tahniah kepada pelajar yang telah menunjukkan minat sepanjang ceramah dilangsungkan. Terima kasih juga kepada kumpulan di bawah pimpinan Amiezan kerana berjaya melaksanakan program ceramah ini.

Terima Kasih Kepada Para "Pakar"

Saya cukup sibuk dengan persediaan untuk Program Kecemerlangan Akademik Pelajar yang akan berlangsung esok. Saya bangga dan bersyukur kerana pada kali ini ada Ina dan Arm yang telah banyak membantu saya sepanjang persediaan ini. Setakat ini, semua masih dikira lancar dan saya sangat berpuas hati dengan kesungguhan mereka berdua.

Banyak kata-kata "sedap" daripada "pakar-pakar" mengatakan "saya menggunakan mereka demi kejayaan saya dan mereka tidak akan dapat apa selain saya yang memiliki semua". Apa saya boleh katakan? Haha... just gelak saja! Semua "pakar" masing-masing mempunyai kelayakan akademik yang tinggi tetapi hanya mempunyai kecelikan akal yang begitu rendah malah jauh lebih teruk berbanding dengan seorang kanak-kanak. Namun, saya bangga dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Ina mengatakan beliau ingin belajar dengan saya dan saya menghargainya. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Ina.

Saya teringat tindakan saya yang bodoh sejak dahulu kerana terlalu berfikir tentang kata-kata yang diluahkan oleh para "pakar" di sekitar saya. Saya ingat akan apa yang diperkatakan oleh KJ saya bahawa apa yang penting adalah pelajar saya memperoleh manfaat. Saya cuma fikir akan apa yang saya boleh lakukan untuk pelajar saya dan itulah cita-cita saya sebagai seorang pendidik. Saya tidak dapat mengawal apa yang  hendak dilakukan atau dibisikkan oleh para "pakar" ke atas saya secara negatif tetapi Tuhan sahaja yang akan mengetahuinya. Bahagian balasan biarlah Tuhan yang Maha Esa menentukannya. Usaha saya untuk mendidik dan membantu anak murid saya biarlah Tuhan yang menilainya. Saya bangga dengan graduasi saya dari UPSI kerana UPSI yang menyedarkan saya akan perlunya hati yang ikhlas dan berterusan untuk mengajar dan seterusnya mendidik. Bukankah itu yang harus dimiliki oleh seorang pendidik dan bukan pengajar?